Archive for the ‘artikel’ Category
Ramadan Dinanti Syawal Dirai: ‘Seronok berbuka di Manchester’
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2010/08/16
(Petikan Berita Harian)
(Pengalaman penulis baru dari Grup Karyawan Luar Negara (GLKN) berpuasa di perantauan)
PENGALAMAN berbuka puasa menikmati keenakan briyani Arab dan kemanisan kurma, bahkan merasai persaudaraan seagama di sebalik konflik di negara asal, dilalui pengarang baru dan pengendali Grup Karyawan Luar Negara (GLKN), Shahkang, bersama-sama umat Islam pelbagai negara di masjid di Manchester, United Kingdom (UK).
Shahkang atau nama sebenarnya, Norshah Aizat Shuaib, sudah pun merasai pengalaman berbuka puasa bersama-sama masyarakat ekspatriat seperti Pakistan, Turki, Iran dan Iraq, biarpun baru menjejakkan kaki di bumi Manchester untuk menyambung pengajian sarjana mudanya pada petang hari terbabit.
Pengalaman manis itu sedikit sebanyak mengubat kerinduannya terhadap tanah air dan keletihan penerbangan Kuala Lumpur-Amsterdam-Manchester yang ditambah lagi, tiada selera ketika bersahur dalam penerbangan berkenaan.
“Ketibaan saya di Manchester sekitar jam 2 petang itu disambut sahabat senior dan perlu menguruskan hal seperti asrama, kad sim telefon dan pas bas tanpa perlu memikirkan soal berbuka puasa kerana dimaklumkan berbuat demikian di masjid.
“Memang menjimatkan wang apabila berpuasa di Manchester kerana setiap hari pasti ada majlis berbuka puasa percuma di masjid tertentu, sekali gus perbelanjaan hanya perlu dikeluarkan untuk sahur dan makanan tambahan yang lain,” katanya kepada Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Read the rest of this entry »
Hujan Emas di Negeri Orang: Suatu Sorotan Terhadap Pengalaman Kembara Dalam Sastera
.
.
.
Oleh Khadijah Khalilah binti Abdul Rashid (Morocco)
.
..
Khalayak sastera di Malaysia kini semakin membesar dan mengalami kepelbagaian, sejajar dengan perkembangan zaman yang pesat dan kian global. Dunia sastera dan penulisan pada hari ini tidak lagi dimonopoli oleh khalayak yang memiliki latar akademik kesusasteraan atau seni penulisan semata-mata, bahkan lapangan ini mula mendapat pasaran yang kukuh di kalangan khalayak profesional, berpendidikan tinggi, mahupun dari latar akademik sains dan perindustrian.
Dalam masa yang sama, fenomena ini perlahan-lahan mendayakan perubahan dalam pola sastera tempatan dengan menyaksikan munculnya karya-karya kembara yang merakamkan perjalanan, suasana dan budaya masyarakat luar dalam tulisannya. Hal ini dapat diperhatikan melalui novel seperti Hatiku Terluka di Bukhara (Wan Hashim Wan Teh), Enrique Mengundang Jauh (HM Tuah Iskandar) Sesegar Nailofar, Rona Bosphorus (Zaid Akhtar), Baromkeh Matamu di Mata ku (Ummu Hani Abu Hassan), dan Suu Phea (Abu Hassan Morad) manakala Waikato (Fudhail), Salju Shibuya (SN Muhammad Haji Salleh), dan 68 Soneta Pohon Gikgo (SN A Samad Said) pula merupakan antara sebahagian kumpulan puisi yang tercetus dari pengalaman kembara ke negara asing.
Imperialisme Bahasa di Bumi Tercinta
(Petikan utusan online)
BAHASA. Jika disederhanakan, ia hanyalah proses interaksi antara fikiran, dunia dan kata-kata. Sebagai media komunikasi pula bahasa tidak sekadar sebagai bunyi (suara), malah ia adalah tanda atau simbol-simbol linguistik.
Read the rest of this entry »
Penulis Muda Luar Negara: Khalayak Baru Dunia Sastera
.
.
Oleh Fahd Razy
Disiarkan dalam Tunas Cipta Oktober, 2009
SETELAH kebah dari gigitan resensi ekonomi pada akhir 90-an, kerajaan Malaysia telah kembali menggiatkan usahanya meningkatkan pencapaian rakyat tempatan dalam bidang profesional melalui penghantaran pelajar ke luar negara, baik untuk pengajian ijazah mahupun sekadar latihan. Jumlah mahasiswa ini meningkat mendadak, terkini meliputi pelbagai rantau negara termasuk United Kingdom, Ireland, Amerika Syarikat, Rusia, Australia, Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia, New Zealand, Republik Czech, Perancis, Ukraine, Poland, Maghribi, Sudan, Mesir, Jordan, Syria, dan sebagainya. Perlahan-lahan penghijrahan destinasi pengajian ini turut mempengaruhi perkembangan sastera dan penulisan tanah air, menyaksikan fenomena kemunculan ramai penulis muda yang mendapat pendidikan awal (pra-ijazah) di luar negara.
Pengarang muda lupa tradisi
(Petikan Berita Harian, 21 Jun 2010)
Oleh: Nazmi Yaakub
Bangga dengan milik asing sehingga sanggup tayang dalam karya
KARYA pengarang muda khususnya cerpen mutakhir banyak menampilkan latar dengan pentas antarabangsa dan mengungkap tema global sehingga keghairahan terhadap dunia luar seolah-olah menjadikan mereka semakin jauh daripada akar budaya tradisi yang sepatutnya diterapkan dalam karya.
Hal ini turut diperkatakan dalam ranah sastera negara jiran, Indonesia, sehingga sebahagian pengarang mapan mereka mula mengusulkan penulis muda negara itu kembali mengungkapkan budaya lokal, sekali gus dapat mengangkat Indonesia ke pentas antarabangsa.
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kamariah Kamarudin, berkata sebahagian penulis muda ghairah dengan latar asing kerana pembacaan dan pergaulan yang luas, selain ramai yang berpeluang menuntut di luar negara serta mengembara ke pelosok dunia.
“Jadi tidak salah penulis muda berkongsi pengalaman dengan pembaca di
Antologi cerpen 'Jalan Jauh ke Ramallah'
samping menghidangkan maklumat berguna dengan memanfaatkan pengalaman mereka di negara berkenaan untuk perutusan khalayak. Tindakan mengetengahkan latar luar negara untuk isu besar dan persoalan bersifat avant-garde.
“Sungguhpun demikian, saya dapat melihat sebahagian penulis muda masih berpijak di bumi nyata kerana kelompok ini tetap megah menyuakan latar tempatan sebagai paksi dalam karya kreatif,” katanya ketika ditanya mengenai rungutan sesetengah pembaca akan kecenderungan terbabit.
Beliau yakin bahawa tidak semua pengarang muda ‘jauh’ daripada budaya setempat kerana masih ada di kalangan mereka yang tidak lupa dengan asal usul dan susur galur khususnya yang menampilkan latar Sabah dan Sarawak dengan memperkenalkan pelbagai etnik dan persekitaran menarik.
“Cuma pengarang muda hari ini barangkali tidak terdorong dalam menghasilkan latar setempat lantaran terpesona dengan bauran latar asing dan setempat yang rata-ratanya diketengahkan dalam karya yang banyak memenangi pelbagai anugerah, peraduan dan sayembara, sejak akhir-akhir ini.
“Bagaimanapun, pengarang yang sebenar ialah mereka yang berupaya membawa bauran latar setempat dan luar negara dalam sesebuah karya sepadan dengan hasrat serta niat masing-masing. Selagi kecenderungan mengemukakan latar asing tanpa nawaitu atau agenda tersembunyi, kita tidak boleh menghalang,” katanya.
Nawaitu dan agenda tersembunyi yang dimaksudkan itu termasuklah pengarang mengharapkan populariti berbanding karya berkualiti, memaparkan gaya hidup Barat dengan latar asing yang dominan sehingga mengatasi kehidupan Timur, sekali gus meraikan Islam liberal.
Beliau menyarankan penulis muda memanfaatkan kekayaan Malaysia dengan latar budaya yang memukau, dari negeri sekecil Perlis sehingga Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, tanpa melupakan Sabah serta Sarawak, selain turut melihat kekayaan dialek yang perlu diketengahkan.
“Kita melihat warna kegemilangan Sasterawan Negara (SN), S Othman Kelantan dan Dr Fatimah Busu dengan dialek Kelantan, manakala SN, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dan Penerima Anugerah Penulisan Sea 1988, Azizi Abdullah (dialek Kedah), manakala Jong Chian Lai (budaya Sarawak).
“Barangkali pengarang muda akan bermotivasi mengangkat budaya etnik andainya ada imbuhan menerusi hadiah dalam bentuk peraduan, sayembara dan anugerah atau institusi tertentu termasuk Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut ‘giat’ mempromosi serta memberi laluan terhadap karya sedemikian,” katanya.

Marsli NO
Bagaimanapun, penyair dan cerpenis mapan, Ramli Selamat atau lebih dikenali sebagai Marsli NO, tidak berlapik lagi apabila menyindir sistem masa kini yang mendidik generasi muda termasuk penulis yang lebih berbangga dengan milik orang lain tanpa menyedari keistimewaan dan kehebatan bangsa mereka.
“Kita wajar mengucapkan tahniah untuk sistem yang mendidik anak muda kita sehingga akhirnya menelurkan mereka sebagai generasi yang lebih berbangga dengan milik orang lain, lalu buta serta menjauhkan diri daripada akar budaya sendiri. Mereka berasa bangga, lebih hebat dan bermartabat seandainya berbicara sesuatu di luar lingkungan sendiri,” katanya.
Marsli NO menolak sebarang usaha untuk memaksa generasi muda dalam melahirkan karya yang intim dengan budaya mereka dengan alasan persoalan mengungkapkan sesuatu dalam karya tidak boleh dipaksa-paksa dan lazimnya lahir atas kesedaran sendiri.
“Kita tidak perlu menjadi ketam mengajar orang lain berjalan betul kerana jika pemimpin dan sebahagian besar kalangan kita yang sudah tua sendiri tidak menghormati bahasa, budaya dan seni sendiri, kenapa pula hendak kita salahkan orang muda yang sekadar mengekor perbuatan buruk kita?” soalnya.
Tanggapan Marsli NO itu seolah-olah disahkan oleh penulis muda apabila Hazwani Rameli atau lebih dikenali sebagai Rebecca Ilham apabila mengakui karya penulis yang kurang menggabungjalinkan unsur budaya tradisi mungkin disebabkan kurang akrab dengan unsur budaya tradisi sendiri.
“Ini juga mungkin berpunca daripada kurang penghayatan kebudayaan setempat di kalangan generasi muda sehingga tidak berjaya mencerna dan meluahkannya ke dalam karya. Boleh jadi pendedahan terhadap warisan tradisi kurang atau sifar atau kurang berminat kerana apa-apa berkaitan tradisi semacam kampungan dan tidak ‘cool’,” katanya.
Bagaimanapun, Rebecca Ilham melihat usaha pengarang muda mengangkat isu global melalui watak tempatan yang kental jati diri dalam latar antarabangsa, sebenarnya tetap mengangkat wajah ketimuran yang tegas dalam lembut.
“Hal ini penting dalam ruang lingkup untuk mencabar keangkuhan pihak di hemisfera utara yang belum terhakis mentaliti kolonialisme mereka, lalu cuba menggunakan pendekatan pasca kolonialisme pula.
“Serentak itu, penulis muda tidak perlu dipaksa untuk kembali kepada akar kerana tidak mustahil mereka berbuat demikian dengan kemahuan sendiri dan kematangan berkarya yang akhirnya mengenalkan kami kembali kepada susur galur sehingga mengagumi sejarah sendiri,” katanya.
Sastera Berunsur Islam: Antara Kualiti dan Kuantiti
Oleh: Azman Ismail
(Sumber: Utusan Online)
MARAKNYA penulisan karya-karya sastera berunsur Islam di Malaysia hari ini memang sesuatu yang menggembirakan. Ia tidak hanya ditekuni oleh penulis mapan tetapi juga oleh pengkarya generasi baru.
Karya-karya yang dihasilkan tidak hanya terhad kepada genre novel, cerpen atau puisi sahaja tetapi juga naskhah pentas, drama radio dan drama televisyen.
Seolah-olah pemilihan tema Islam menjadi kemestian dalam penulisan sastera Malaysia hari ini. Sebut sahaja penulis-penulis muda seperti Zaid Akhtar, Ummu Hani Abu Hassan dan bahkan penulis prolifik, Faizal Tehrani (sekadar beberapa nama). 
Hanya satu pertanyaan atau persoalan besar besar yang perlu dilihat iaitu kualiti karya-karya berunsur Islam ini. Adakah mereka memikul tanggungjawab besar membawa fungsi karya-karya sastera Islam tersebut secara sesungguhnya.
Ia kerana sesebuah karya sastera Islam dalam erti kata sebenar bukan hanya membawa mesej keislaman, tetapi juga kupasan kemanusiaan di samping tidak terlepas dari wilayah estetika seni.
Unsur lain berkaitan dengan karya- karya berunsur Islam ini ialah sejauh mana pemahaman serta keupayaan seseorang pengarang menggarap nilai dan permasalahan melalui skop keagamaan itu.
Mengapa demikian? Dalam konteks sastra Islam, pendapat umum tentang genre ini ialah karya-karya tersebut akan membawa dan memuatkan simbol-simbol Islam dalam aspek ibadat, pelaksanaan dan peraturan yang ditetapkan.
Oleh itu, metafora dan simbol keislaman perlu memfokus kepada ciri-ciri ajaran Islam hingga memperlihatkan sesebuah teks sastera itu merupakan cerminan daripada pemahaman seseorang pengarang dan orientasi sebenar karya ditulis.
Dengan kata lain, penulis atau pengarang perlu meletakkan karya mereka bukan hanya berhubungan dengan Tuhan tetapi juga fungsi sosialnya dalam konteks vertikal dan horizontal.
Setiap teks sastera bukan hanya menelusuri nilai-nilai keislaman, ketuhanan dan proses ritual tetapi juga posisi kemanusiaan yang luas yang juga merupakan landasan daripada sebuah bangunan keagamaan.
Dengan demikian, struktur estetika yang terkonstruksi dalam sastera berunsur Islam tidak mengarah pada dogma yang bergerak di sekitar asas positivisme atau syariah semata-mata.
Oleh itu, sesebuah sastera berunsur Islam yang berkualiti tidak akan terbelenggu dengan struktur yang merujuk kepada interpretasi tunggal terhadap dalil yang termuat dalam kitab suci al-Quran dn terma-terma keislaman.
Mungkin segelintir penulis terutama generasi baru di negara ini tidak memahami konsep sebenar sebuah karya sastera Islam. Proses penciptaan karya seperti itu tidak semestinya terikat pada dogma agama.
Dengan kata lain, sesebuah teks sastera itu bebas menggunakan simbol agama tetapi perlu ada tanggungjawab estetika. Dalam hal ini, boleh sahaja sesebuah karya itu tidak menggunakan huraian terperinci dalil yang termuat dalam al-Quran.
Ahli psikologi budaya, Erich Fromm dalam To Have or To Be pernah menegaskan, keagamaan merupakan sebahagian daripada watak sosial yang perlu memenuhi keperluan-keperluan agama yang sudah melekat pada diri manusia sebagai keperluan asasi.
Ia tidak berkaitan dengan sistem yang berhubungan dengan ketuhanan tetapi pada sistem pemikiran atau tindakan yang memberikan seseorang individu suatu kerangka orientasi.
Hal ini turut ditegaskan oleh Fromm dalam satu lagi tulisannya, Religion and Psychoanalysis bahawa pembentukan karakter sosial dalam agama yang keterlaluan menyebabkan wujud pandangan-pandangan fundamental yang sempit.
Jika persoalan ini dihubungkan dengan perkembangan pesat sastera berunsur Islam di Malaysia, adakah pengarang-pengarang kita memenuhi tanggungjawab estetika dan keagamaannya melalui karya-karya tersebut?
Adakah dunia sastera tanah air hari ini mempunyai kekuatan dalam aspek kuantiti karya berunsur Islam atau bukannya kualiti yang benar-benar mampu menjana kesedaran tentang nilai-nilai ketuhanan?
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Hashim Ismail berkata, tidak banyak karya-karya sastera berunsur Islam di negara ini yang benar-benar ‘memasuki’ jiwa keislaman.
Sebaliknya, kebanyakan karya hanya bersifat tempelan tema Islam tanpa ada usaha meletakkan falsafah agama dan nilai ketuhanan itu dalam erti yang mendalam.
‘‘Kuantiti karya berunsur Islam di Malaysia cukup banyak tetapi sebahagian besar penulis tidak menguasai falsafah keilmuan dalam membicarakan nilai dan intipati.
‘‘Hasilnya karya yang dibawa tidak mendalam dan boleh sayakan katakan sebahagian besar cuma sebagai pembukaan tentang Islam. Sesebuah karya sastera seperti itu perlu mendalam dan kritikal,’’ katanya.
Contoh yang paling mudah ialah karya-karya sastera berunsur Islam tradisional tulisan-tulisan penulis sufi di Nusantara seperti Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Sumatrani, Abdul Rauf Singkel dan sebagainya.
Hashim melihat tradisi sastera Islam (kotemporari) di Indonesia lebih baik berbanding di negara ini kerana pengarang-pengarangnya menguasai falsafah Islam yang digarap ke dalam karya-karya sastera.
‘‘Kepengarangan kita lemah dalam menguasai ilmu. Oleh kerana tidak ada penguasaan yang baik, karya-karya berunsur Islam hanya sekadar tempelan,’’ tegasnya.
Memang tidak dinafikan kedudukan sesebuah teks sastera Islam sering diperkatakan. Ia misalnya dianggap hanya sebagai karya sastera dan tidak perlu terlalu mendalam mengupas nilai-nilai Islam.
Namun, sesebuah karya sastera berunsur Islam sama seperti genre-genre lain turut membabitkan pertanggungjawaban seseorang pengarang. Jika hanya sekadar tempelan, mesej keagamaan itu ‘tidak sempurna’.
Seperti dijelaskan oleh Hashim, posisi ini tidak akan menemukan titik tertingginya jika garapan hanya sekadar bersifat luaran. Memang di satu sisi ia benar-benar sangat formalistik kerana selama ini karya berunsur agama difahami sebagai sebuah kualiti keagamaan.
Dalam satu sisi sesebuah karya berunsur Islam tidak hanya terpaku pada masalah ketuhanan, tauhid dan akhlak semata-mata. Malah, ia turut mengarah pada kesedaran pada nilai-nilai dan asas kemanusiaan.
‘‘Masalah, segelintir pengarang kita juga tidak menguasai persoalan-persoalan ini dengan baik hingga karya-karya sastera yang dihasilkan tidak kuat,’’ tambah beliau.
Pensyarah Jabatan Sastera Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Talib Samat mentafsirkan sesebuah karya sastera Islam sebagai tulisan yang memuatkan nilai-nilai agama yang dipraktik oleh masyarakat dan pengarangnya sendiri. 
Beliau mengambil contoh karya-karya penulis agung Indonesia iaitu Hamka dan cerpen-cerpen yang ditulis oleh ulama tersohor, Tok Kenali yang menjadi alat memperluaskan tauhid masyarakat.
‘‘Apa yang saya lihat, karya sastera berunsur Islam di Malaysia hari ini hanya sebuah mukadimah (pengenalan) sahaja. Ini kerana jiwa dan falsafahnya tidak ada.
‘‘Para penulis hanya menempel dan meletakkan sebagai asas sahaja. Tidak ada yang benar-benar bergerak jauh memperkatakan Islam. Mungkin boleh kita sebut hanya kuantiti yang meningkat tapi kualiti belum banyak berubah,’’ ujarnya.
Oleh itu, Talib melihat dalam kerangka Islam, karya seperti itu bukan hanya memaparkan hubungan dengan Tuhan (hablum minallah), tetapi juga fungsi sosialnya, hubungan dengan sesamanya (hablum minan nas).
Posisi manusia juga diperhatikan dan yang menjadi acuan adalah faktor kemanusiaan yang luas menjadi landasan dari sebuah struktur keagamaan.
Dengan landasan kemanusiaan, pembacaan terhadap realiti keislaman boleh menggunakan strategi dekonstruksi Jacques Derrida dengan paradigma bahawa sebuah teks itu tidak utuh. Ia memiliki celah dan jarak makna tersendiri.
Bagaimanapun berkembangnya sastera berunsur Islam hari ini memang sesuatu yang positif. Namun, cabaran terbesar ialah kualiti walaupun sastera tidak lepas daripada nilai estetikanya. Ini kerana sesebuah karya harus menjadi alat pendidikan manusia yang penuh dengan absurditinya.
MARAKNYA penulisan karya-karya sastera berunsur Islam di Malaysia hari ini memang sesuatu yang menggembirakan. Ia tidak hanya ditekuni oleh penulis mapan tetapi juga oleh pengkarya generasi baru.
Read the rest of this entry »
Realisma dalam Novel VT karya Hilal Asyraf

.
Oleh Aladib Afzan (Jordan)
http://aladibafzan.wordpress.com
.
Realisma merupakan salah satu daripada bentuk kritikan moden, di mana realisma melihat kepada keupayaan sesorang penulis untuk mengaplikasikan segala idea yang ada melalui pengalaman dan keadaan reality di dalam masyarakat.
Di dalam kajian sastera, banyak pengkritik sastera rumpun arab memilih Naguib Mahfouz sebagai ikon di dalam penghasilan karya- karya berunsur realisma. Dan di dalam penulisan ini, penulis akan menumpukan aspek realisma dan hubungkait dengan islamisasi di dalam novel “VT” yang ditulis oleh Hilal Asyraf.




